Khamis, 20 September 2012

Mabda Wa Ma'ad: MINHA 10


MABDA WA MA'AD
Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Quddisa Sirruhu



MINHA 10

“Apabila seorang Talib datang kepada seorang Syaikh Sufi, hendaklah Syaikh tersebut mencadangkan kepadanya agar melakukan Solat Istikharah untuk mendapatkan petunjuk. Talib tersebut hendaklah mengulangi Solat Istikharah sebanyak 3 hingga 7 kali. Selepas beberapa kali Istikharah, sekiranya Talib tidak menunjukkan apa-apa tanda keraguan maka latihannya di atas jalan Tariqat ini bolehlah dimulakan.”

“Pada mulanya dia hendaklah diajar untuk melakukan Taubat yang betul dan dia hendaklah dianjurkan untuk melakukan Solat Taubat 2 Raka’at. Ini kerana tanpa Taubat yang diterima, meletakkan kakinya untuk maju di atas jalan ini tidak akan mendatangkan apa-apa hasil. Bagaimaanpun untuk permulaan, dia hendaklah menganggap bahawa Taubat yang ringkas adalah mencukupi dan meninggalkan Taubat yang lengkap secara Tafsil untuk kemudian harinya. Ini kerana pada masa ini, manusia mempunyai kesungguhan Himmat yang lemah. Dan juga, sekiranya manusia disarankan untuk mencapai Taubat yang sepenuhnya, ini akan mengambil masa yang panjang.”

“Selepas itu, Salik hendaklah diajarkan mengenai Tariqat yang paling sesuai dengan Isti’dad kesediaannya. Dia kemudiannya diberikan Talqin Zikir yang mudah dengan kemampuan Qabiliyyatnya. Kemudian, Syaikh Sufi hendaklah memberikan Tawajjuh kepada Muridnya dan memerhatikan hal keadaan Ruhaniahnya.”

“Dan dia hendaklah diajar tentang adab-adab dan peraturan di atas jalan ini. Dia hendaklah diseru untuk mengikuti Al-Quran, Sunnah dan mencontohi jejak langkah Para Salaf Salihin. Ini kerana, adalah mustahil untuk sampai ke maksud tanpa ikutan terhadap Sunnah Nabi dan Para Salafus Salih.”

“Syaikh Sufi hendaklah memberitahu Salik bahawa sekiranya dia mengalami apa-apa penyingkapan Kashaf atau Musyahadah yang menyimpang dari Sunnah walaupun seluas rambut sekalipun tidak akan dikira. Sebaliknya, Salik hendaklah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah mengenai perkara tersebut.”

“Pada masa itu, engkau hendaklah menasihatinya supaya memperbaiki ‘Aqidahnya supaya menuruti golongan yang diselamatkan Firqah Najiyyah iaitu golongan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.”

“Dan adalah penting agar kamu mengajar Salik mengenai Hukum-Ahkam Fiqhiyyah dan menekankan supaya mengamalkan apa yang telah dipertanggunjawabkan ke atasnya mengikut Hukum tersebut. Ini kerana, tanpa dua sayap I’tiqad dan Amal Salih, maka adalah mustahil untuk terbang menempuh Jalan Para Sufi ini.”

“Seterusnya, kamu hendaklah menganggap bahawa adalah suatu perbuatan yang baik untuk berhati-hati walau sesuap makanan yang Haram atau Syubhat. Dia janganlah makan apa sahaja atau dari mana sahaja makanan itu dijumpai sehingga makanan tersebut terbukti baik serta betul berdasarkan kepada ukuran Syari’ah. Ringkasannya, dalam semua perkara hendaklah mengingati ayat ini sebagai petunjuk:

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya." [59:7]

“Dari sudut keadaan hal keruhanian, Para Salik boleh dibahagikan kepada dua golongan samada dia akan memiliki Kashaf dan Ma’rifat atau dia akan menjadi jahil dan kehairanan. Tetapi selepas menempuh perjalanan tingkatan Manazil Suluk tingkat demi tingkat dan hijab pun diangkat, kedua-dua golongan sampai Wusul ke tempat yang sama. Tidak ada satu golongan boleh mengaku lebih tinggi daripada golongan yang lain semasa mencapai Wusul. Ianya adalah seperti dua orang yang telah sampai ke Ka’abah daripada tempat yang jauh. Salah seorang darinya datang dengan melihat kesemua perkara yang menarik di sepanjang jalan dari tempat dia berangkat. Dan dia memahami perkara tersebut sebanyak mana yang dia boleh fahami. Dan seorang lagi datang dengan kedua-dua matanya ditutup dan tidak mengetahui apa-apa di sepanjang perjalanan dari tempat dia berangkat. Dari segi hal sampai ke Ka’abah, kedua-dua orang ini adalah sama dan tidak ada seorang pun yang memiliki ketinggian di atas yang lain dalam hal sampai tersebut, walaupun terdapat perbezaan besar di antara keduanya dalam mempelajari mengenai tempat-tempat Manazil di sepanjang perjalanan.

“Bagaimanapun apabila mereka telah sampai ke destinasi, kedua-dua golongan pasti akan menjadi jahil. Ini kerana apabila seseorang mengetahui Ma’rifat tentang Zat Allah Ta’ala, dia sedar bahawa dia tidak mengetahui apa-apa tentangNya dan tidak akan dapat mengenaliNya.”

“Adalah perlu engku ketahui bahawa merentasi tahap Manzil-manzil Suluk bermaksud menempuh Sepuluh Maqamat. Dan perjalanan menempuhi Sepuluh Maqamat tersebut adalah bergantung kepada tiga jenis Tajalli iaitu Tajalli Af’ali, Tajalli Sifati dan Tajalli Zati. Kesemua Maqam adalah berkait dengan Tajalli Af’al dan Tajalli Sifat melainkan Maqam Ridha. Dan Maqam Ridha adalah berkait dengan Tajalli Zati dan Mahabbat Zat. Dan kemuncak yang perlu untuk keredaan adalah apabila kekasih menyamakan kedua-dua kesenangan dan kesusahan yang datang adalah dari yang Yang Dikasihi. Maka dengan ini, keredhaan tercapai dan ketidakpuasan terhapus dari alam dalaman Sufi.”

“Sama juga, kesemua Maqamat ini akan meningkat mencapai ke tahap kesempurnaan apabila ianya menerima Tajalli Zati. Ini kerana Fana yang lengkap bergantung kepada Tajalli Zati ini. Sebenarnya, mencapai sembilan Maqam yang lain adalah bergantung kepada Tajalli Af’al dan Tajalli Sifat.”

“Sebagai contoh, apabila seseorang dapat menyaksikan Sifat Qudrat Kekuasaan Allah Ta’ala ke atas dirinya dan ke atas segala sesuatu, dia akan kembali kepadaNya dengan Taubat dan Inabat. Dia berasa takut dengan Tuhannya dan menegah diri dari yang diharamkan. Dan dia menjadi Sabar ke atas apa sahaja yang Allah Ta’ala telah Taqdirkan mengetahui bahawa dia tidak ada berkuasa ke atas apa yang telah ditaqdirkan oleh Allah Ta’ala. Dan dia menyedari bahawa Allah adalah Pemberi Segala Nikmat dan memberi dan menahan nikmat adalah semata-mata di atas KehendakNya dan oleh itu dia menyerah dirinya kepada Allah Ta’ala dan bersyukur ke atas apa yang Tuhan telah ditaqdirkan baginya. Pada ketika itu sebagai akibat yang pasti, dia diangkat ke Maqam Syukur dan kakinya teguh lagi Rasikh ke atas Maqam Tawakkal. Dan apabila Faidhz kasih sayang dan Rahmat Allah jatuh ke atasnya, dia kemudiannya akan memasuki Maqam Ridha. Selepas itu, apabila dia menyaksikan ‘Azmat keagungan dan Kibriya kebesaran Allah Ta’ala, dia akan mendapati bahawa Dunia adalah hina dan keji tanpa sebarang iktibar. Akibatnya, dia mencapai Maqam Wara’ tidak menginginkan Dunia lagi.” 

“Hendaklah engkau ketahui bahawa ia adalah bahagian bagi Salik Mazjub untuk mencapai Sepuluh Maqamat ini secara Tafsil dan satu persatu.”

“Sebaliknya, Mazjub Salik merentasi Sepuluh Maqamat ini secara Ijmal yakni tidak satu persatu bahkan secara ringkas. Ini kerana kurniaan dan ‘Inayat Allah Ta’ala menawan hatinya dengan cinta sehingga dia terus melalui Maqamat tersebut dengan secara Ijmal. Bagaimanapun, disebabkan cinta tersebut dia sebenarnya mencapai kedudukan terbaik di dalam Maqamat tersebut dan intipati setiap tingkatan Manazil Maqam tersebut. Makanya, Mazjub Salik yang telah menghasilkannya dengan darjat yang lebih sempurna adalah tidak mungkin baginya untuk merentasi Maqamat tersebut secara Tafsil sepertimana Salik Mazjub. Salam ke atas mereka yang mengikuti petunjuk.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan