MABDA WA MA'AD
HADHRAT MUJADDID ALF TSANI
RAHMATULLAH 'ALAIH
MINHA 35
“Faqir telah ditunjukkan bahawa apabila Allah Ta’ala menggunakan perkataan Qurb yakni dekat, Ma’iyyat yakni beserta dan Ihatah yakni merangkumi, ianya adalah antara Mutashabbihat yang terdapat di dalam Al-Quran seperti Tangan, Muka dan yang lain. Begitu juga dengan perkataan Awal, Akhir, Zahir dan Batin. Walaupun kita mengatakan Allah Ta’ala adalah sungguh Qurb dekat kepada kita, tetapi kita tidak tahu apakah makna dekat Qurb yang sebenarnya. Serupa juga, apabila kita mengatakan bahawa Dia Yang Awal tetapi kita tidak tahu apakah makna “Yang Awal” sebenarnya. Makna “Qurb” dan “Yang Awal” tidak datang dari ‘Ilmu dan kefahaman kita yang terhad. Allah Ta’ala adalah suci dari segala-gala ketidaksempurnaan. Dan sesungguhnya Dia adalah lebih tinggi dari itu. Dan Dia sesungguhnya malah lebih tinggi dari apa yang kita ketahui melalui Kashaf dan Musyahadah. Dan Maha Besar Allah Ta’ala meninggikan DiriNya lebih tinggi dari itu dan Dia adalah Maha Suci dari kekurangan fikiran manusia yang membataskanNya. Sesetengah Sufi telah yang telah mendapat makna “Qurb” dan “Ma’iyyat” melalui Kashaf yang salah. Mereka menganggap Allah Ta’ala adalah “dekat dengan kita” dan “bersama kita”. Ini tidak benar! Mereka telah termasuk di dalam sebahagian dari Firqah Mujassimah. Dan sesetengah Sufi telah mentafsirkan perkataan tersebut dengan menggunakan Takwil. Sebagai contoh, “Qurb” membawa maksud kedekatan dalam ‘Ilmu atau “Qurb ‘Ilmi”. Mereka telah mentakwilkan perkara yang sama sebagaimana mereka telah mentakwilkan “Tangan” sebagai “Qudrat” dan “Wajah” sebagai “Zat”. Para ‘Ulama tersebut berpendapat bahawa adalah harus untuk mentafsirkannya. Kami tidak menganggap tafsiran tersebut sebagai Sahih dan sebaliknya menyerahkan Tafsir maknanya kepada ‘Ilmu Allah Ta’ala Yang Maha Luas. Pengetahuan yang sebenar adalah di sisi Allah Ta’ala! Salam ke atas mereka yang mengikuti petunjuk.”

Tiada ulasan:
Catat Ulasan