Rabu, 26 September 2012

Mabda Wa Ma'ad: MINHA 31


MABDA WA MA'AD
HADHRAT MUJADDID ALF TSANI QUDDISA SIRRUHU


MINHA 31

“Hanya selepas engkau menempuh kesemua Sepuluh Maqamat Suluk dalam jalan Tariqat, engkau mungkin akan menyempurnakan Tariqat dan sampai ke hujung yang penghujung Nihayat An-Nihayat. Maqam pertama adalah Taubat dan Maqam terakhir adalah Ridha. Pada peringkat kesempurnaan, tidak ada Maqam yang boleh dibayangkan yang lebih tinggi daripada Maqam Ridha, malah melihat Allah Ta’ala di Akhirat bukannya Maqam yang lebih tinggi. Haqiqat Maqam rendah akan dizahirkan di Akhirat. Haqiqat Maqamat yang lain tidak dapat dizahirkan di Akhirat. Di Akhirat sana, Taubat tidak bermakna lagi, Zuhud tidak ada kaitannya lagi, Tawakkal tidak lagi terbentuk dalam bentuknya, Sabar tidak ada dasarnya. Namun, perhatikan! Sesungguhnya Syukur akan didapati di sana. Tetapi, Syukur tersebut adalah hanya cabang daripada cabang-cabang Ridha, bukan sesuatu yang terpisah darinya.”

Soalan: 
Kadang-kadang engkau boleh merasai keinginan untuk Duniawi ada pada manusia yang sempurna Kamil Mukammil yang boleh menyempurnakan manusia yang lain iaitu seseorang yang boleh membimbing Murid untuk menjadi sempurna. Malah, kadang-kadang engkau melihat sifatnya yang menunjukkan dia kurang Tawakkal sepenuhnya terhadap Allah Ta’ala. Malah, kadang-kadang engkau melihatnya menunjukkan ketidaksabaran yang memaparkan bahawa dia kurang bersifat Sabar. Malah, kadang-kadang engkau melihatnya seolah-olah dia tidak bersifat Ridha terhadap Allah Ta’ala.  Bagaimanakah engkau dapat menjelaskan perkara ini?

Jawapan: 
“Mencapai Maqamat Suluk ini adalah dikhususkan dengan Qalb dan Ruh. Untuk golongan Khawas, Maqamat ini adalah berkait dengan Mafsu Mutmainnah. Bagaimanapun, sifat-sifat tersebut tidak ada kaitan pada Jasad Qalib. Hanya kekerasan Jasad berubah kepada kelembutan. Sekali seseorang telah bertanya kepada seorang Sufi, Hadhrat Abu Bakar Shibli Rahmatullah ‘Alaih, “Engkau mendakwa sangat mencintai Allah Ta’ala. Maka, bagaimana mungkin engkau memiliki badan yang besar yang menunjukkan bukannya mencintai Allah, sebaliknya seorang pelahap yang mencintai makanan?” Sebagai menjawab, Hadhrat Abu Bakar Shibli Rahmatullah ‘Alaih mengungkapkan syair:

Hatiku sedang dilamun cinta;
Namun jasadku tidak mengetahuinya;
Sekiranya ia mengetahui cintaku;
Ia tidak akan menjadi begitu besar.

Oleh itu, jika engkau mendapati sifat buruk pada orang yang sempurna Kamil yang bertentangan dengan Maqam yang mulia tersebut, maka ia bukanlah bermakna terdapat ketidaksempurnaan pada Alam Batinnya. Sebaliknya bagi mereka yang belum sempurna, ketidaksempurnaan pada pencapaian Maqam tersebut adalah terzahir pada keseluruhan dirinya Zahir dan Batin. Kedua-dua Zahir dan Batin mereka masih mempunyai keinginan terhadap Dunia. Kedua-dua rupa bentuk dan haqiqat diri mereka terdapat perkara yang bertentangan dengan Tawakkal.  Ketidaksabaran dan ketidakstabilan dapat dilihat pada kedua-dua Qalb Hati dan Qalib Jasad mereka. Ketidakpuasan hati terhadap Taqdir Allah Ta’ala terpancar dari kedua-dua Ruh dan Jasadnya. Beginilah bagaimana Allah Ta’ala menyembunyikan Para Wali-waliNya. Dan telah diharamkan kebanyakan manusia dari kesempurnaan Kamalat yang ada pada mereka yang telah sempurna.”

“Terdapat hikmah yang tersembunyi dalam meletakkan ketidaksempurnaan pada Wali-wali Allah. Ianya adalah:

1. Cubaan - Supaya kebenaran tidak dapat dibezakan daripada kebatilan. Itulah yang dikehendaki untuk Dunia ini yang merupakan tempat cubaan. Sekiranya tidak, maka cubaan akan menjadi begitu mudah. 

2. Peningkatan Ruhaniah - Hikmah yang lain pada ketidaksempurnaan yang terdapat pada Para Wali-wali Allah adalah untuk peningkatan Taraqqi walaupun ketidaksempurnaan itu adalah dalam rupa bentuk sahaja. 

Jika ketidaksempurnaan ini meninggalkan Para Wali-wali sepenuhnya, maka jalan untuk peningkatan Ruhaniah mereka akan terbantut. Dan mereka akan terus kekal tanpa peningkatan Maqam seperti Para Malaikat yang tidak mengalami apa-apa peningkatan Ruhaniah. Salam ke atas mereka yang mengikuti Hidayat dan mengikuti Insan yang terpilih Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan Selawat dan Salam yang sempurna ke atasnya dan Ahli Keluarganya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan