MABDA WA MA'AD
HADHRAT MUJADDID ALF TSANI
RAHMATULLAH 'ALAIH
MINHA 43
"Allah Ta’ala telah berfirman,
“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan dan zahirkan sebagai bersyukur kepadaNya.” [93:11]
Maka, faqir di sini akan menerangkan nikmat tersebut. Kepercayaan faqir di atas perkara Kalam adalah sama dengan kepercayaan Ahli Haqq iaitu golongan Sunni. Faqir percaya dengan kepercayaan yang penuh dengan yakin bahawa apabila faqir membandingkan keyakinan ini dengan keyakinan atas perkara–perkara yang Badihi atau perkara Duniawi, nampaknya seolah-olah keyakinan kepada perkara-perkara Badihi adalah lemah bahawa ia perkara yang tidak pasti atau sebaliknya seperti mimpi, Zhan dan Waham. Sebagai contoh, apabila faqir membandingkan keyakinan yang faqir telah dapati dari setiap perkara ‘Ilmu Kalam dengan keyakinan yang faqir miliki mengenai kewujudan matahari, maka keyakinan terhadap perkara kedua tentang kewujudan matahari menjadi pudar dibandingkan dengan keyakinan terhadap perkara pertama tentang semua aspek ’Ilmu Kalam. Faqir tidak peduli samada ahli-ahli akal menerima perkataan faqir atau tidak, sesungguhnya faqir berfikir mereka tidak akan menerimanya. Ini kerana, hujah ini adalah di luar ilmu rasional dan cara ‘Ilmu ‘Aqal. Atas perkara ini, hakikatnya adalah berikut. Keyakinan adalah perkara hati. Keyakinan, sebagai contoh yang diperolehi mengenai kewujudan matahari diperolehi melalui organ pancaindera. Organ ini adalah seperti pengintip yang mengumpulkan maklumat dari berbagai cara dan menghantarkannya ke hati. Sebaliknya keyakinan mengenai perkara ‘Ilmu Kalam, hati memperolehinya secara langsung tanpa melalui perantaraan mana-mana satu organ pancaindera. Dan hati menerimanya sebagai Ilham daripada Allah Ta’ala dalam bentuk Talaqqi secara langsung tanpa perantaraan. Oleh itu, jenis keyakinan pertama adalah ‘Ilmu Al-Yaqin dan jenis keyakinan kedua adalah ‘Ain Al-Yaqin. Besar perbezaannya di antara dua jenis keyakinan ini. Seperti syair yang tertulis,
Adakah mendengar serupa dengan melihat?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan