Khamis, 20 September 2012

Mabda Wa Ma'ad: MINHA 12


MABDA WA MA'AD
Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Quddisa Sirruhu



MINHA 12

“Hadhrat Khwajah Naqshband Quddisa Sirruhu telah berkata, “Cermin setiap orang Syaikh Sufi mempunyai dua sudut tetapi cerminku mempunyai enam sudut.” Bagaimanapun, malah hingga ke hari ini tidak ada seorang pun di kalangan Khalifah Silsilah keluarga Tariqat Naqshbandi ini yang telah menghuraikan makna perkataan yang suci ini. Bahkan, tiada siapa pun yang telah melafazkan apa-apa mengenai perkara ini walaupun sebagai kiasan. Jadi, bagaimana mungkin makhluk rendah yang hina sepertiku, berani untuk menjelaskan dan membuka mulutnya untuk menyingkapkan maknanya? Kini, semata-mata dengan limpahan kurnia dan RahmatNya, Allah Ta’ala telah menzahirkan tentang rahsia yang misteri kepada faqir, makhluk rendah yang hina ini. Dan Dia telah mengajar faqir haqiqat maknanya dengan sempurna. Atas sebab ini, ilham ini bermain-main dalam fikiranku bahawa faqir menjelaskan rentetan mutiara ini dan menzahirkannya. Jadi, faqir bercakap dan mentafsir perkara ini dalam bahasa yang jelas. Selepas melakukan Solat Istikharah, faqir memulakan bab ini. Faqir memohon kepada Allah Ta’ala agar Dia melindungi faqir dari kesilapan dan memberikan faqir keupayaan.”

“Hendaklah engkau ketahui bahawa cermin merujuk kepada Qalb Para Arifin. Dan Qalb adalah genting pengantara yakni Barzakh di antara Ruh dan Nafs. Dua sudut merujuk kepada sebelah Ruh dan sebelah yang lain iaitu Nafs. Apabila Syaikh Sufi sampai ke Maqam Qalb, kedua-dua belah sudut ini akan terbuka. Segala-gala ‘Ilmu dan Ma’rifat kedua-dua Maqam Ruh dan Nafs yang berkait dengan Qalb akan terpancar  keluar ke Qalb Sufi dan dia dapat menzahirkan ‘Ilmu tersebut.”

“Ianya berbeza dengan cara yang diajarkan oleh Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshbandi. Di dalam cara Tariqat Naqshbandi ini, ‘penghujung telah dimasukkan di permulaan’. Dan dalam Tariqat ini, engkau boleh melihat enam sudut di dalam cermin Qalb. Penjelasan tentangnya telah disingkapkan kepada Masyaikh dalam Tariqat yang mulia ini. Kesemua Enam Latifah terdapat pada badan manusia juga terdapat di dalam Qalb. Enam sudut merujuk kepada Enam Latifah. Syaikh dalam Tariqat-tariqat lain, perjalanan Sayr sehingga ke bahagian luar Zahir Qalb sahaja tetapi  perjalanan Masyaikh Tariqat Naqshbandi sehingga ke dalam Batin Qalb. Dalam perjalanan Sayr ini, mereka sampai ke dalam perut di dalam perut (Batin Butun) iaitu jauh ke dalam Qalb. Dan apabila Masyaikh masuk jauh ke dalam Qalb di atas Maqam Qalb, segala ‘Ilmu dan Ma’rifat mengenai Enam Latifah akan tersingkap. Namun, walaupun pada sekali imbasan, nampak seperti ‘Ilmu ini datangnya dari Enam Latifah, namun sebenarnya segala ‘Ilmu dan Ma’rifat ini adalah berkaitan dengan Maqam Qalb. Ini adalah penjelasan kepada perkataan yang telah diungkapkan oleh Hadhrat Khwajah Shah Naqshband Quddisa Sirruhu."

“Di atas Maqam ini, dengan keberkatan Para Masyaikh ini, banyak misteri telah disingkapkan kepada faqir. Faqir telah mengesahkan dan meneliti misteri tersebut. Dan mematuhi perintah Allah Ta’ala."

“Maka hendaklah engkau sebut-sebutkan Nikmat Tuhanmu sebagai mensyukuri NikmatNya.” [93:11]

Dan faqir menzahirkan sesetengah rumuz misteri daripada kesemuanya misteri yang telah dizahirkan kepada faqir dan faqir mendedahkan beberapa kiasan daripada semua penelitian tersebut. Ia adalah Allah Ta’ala yang melindungi daripada kesilapan dan memberikan keupayaan untuk menjelaskannya.”

“Hendaklah engkau ketahui bahawa Qalb kepada Qalb mengandungi Enam Lataif sepertimana juga Qalb yang mengandungi semua Enam Lataif. Bagaimanapun, pada Qalb kepada Qalb, disebabkan daerah Qalb adalah sempit atau disebabkan oleh sebab-sebab yang misteri, dua Latifah dari kesemua Enam Lataif  terzahir  separuh sahaja. Ianya adalah Latifah Nafs dan Latifah Akhfa.”

“Qalb adalah dalam keadaan yang sama pada peringkat ketiga. Kecuali latifah Khafi tidak terzahir. Dan lagi, Qalb adalah dalam keadaan yang sama pada peringkat keempat dan latifah Sirr tidak terzahir di sini. Bagaimanapun, pusat Qalb dan Ruh terzahir pada peringkat ini. Pada peringkat kelima, Latifah Ruh tidak terzahir dan oleh itu yang tinggal hanyalah Qalb yang ringkas dan tulin. Dan tiada apa yang perlu dipertimbangkan bagi Qalb pada tahap kelima kecuali benda yang Asal.”

“Di sini, hendaklah engkau ketahui beberapa Ma’rifat ‘Aliyyah yang tinggi supaya engkau dapat sampai Wusul kepada hujung yang penghujungan dan had batas akhir yang terakhir (Nihayat An-Nihayat Wa Ghayat Al-Ghayat). Oleh itu faqir menyatakan dengan Rahmat Allah Ta’ala bahawa segala apa yang terzahir di dalam Alam Kabir dalam bentuk yang lebih terperinci serta Tafsil, semuanya juga terzahir di dalam Alam Saghir dalam bentuk yang ringas dan Ijmal”.

“Oleh itu, apabila Alam Saghir tubuh badan Insan disucikan dan dalam dirinya bersinar, satu perkara yang menakjubkan akan berlaku. Sebagaimana, objek akan terpapar sebagai pantulan pada cermin, dengan cara yang sama segala apa yang ada pada Alam Kabir dalam bentuk Tafsil terperinci, semuanya akan terpantul dan terzahir di dalam Alam Saghir dalam bentuk Ijmal yang ringkas.  

“Hasil dari menggilapkan dan sinaran hati, kemampuan hati untuk menampung perkara-perkara lain akan berkembang dan oleh itu, aturan bahawa hati adalah kecil akan ditarik balik dan oleh itu, hati berkembang dan menjadi lebih besar.”

“Hubungan di antara Alam Saghir dengan hati adalah sama. Kita tahu bahawa segala yang terdapat di dalam Alam Kabir dalam bentuk Tafsil terdapat di dalam Alam Saghir dalam bentuk Ijmal yang ringkas dan tidak dapat dibezakan. Dan dengan cara yang sama,  segala apa yang ada di Alam Saghir dalm bentuk Tafsil ada perbezaan, kesemuanya  terpapar di dalam hati dalam bentuk Ijmal yang ringkas dan tiada perbezaan. Oleh itu, apabila Alam Saghir yang paling kecil iaitu Alam Qalb digilap dan disucikan dan kegelapan zulmat dapat dihapuskan. Pada ketika itu, segala-gala yang terdapat di Alam Saghir tubuh badan Insan dalam bentuk Tafsil yang dapat dibezakan, kesemuanya juga akan terpapar padanya iaitu hati dalam bentuk Ijmal dengan cara yang sama sebagaimana objek muncul sebagai pantulan pada cermin." 

“Beginilah Hal keadaan di antara hati dan perhubungannya dengan hati kepada hati. Segala apa yang ada di dalam hati dalam bentuk Tafsil yang ada perbezaan, kesemuanya  terpapar di dalam hati kepada hati dalam bentuk Ijmal yang ringkas dan tiada perbezaan.”

“Pada asalnya, hati tidak ada perbezaan serta sempit dan kemudiannya perbezaan terbentuk di sana. Apa yang menyebabkan terbentuknya perbezaan adalah disebabkan hati disucikan dan disinari dengan cahaya Nuraniyyat.”

“Kiasan yang sama boleh dibuat berhubung dengan hati pada tahap ketiga dan hati pada tahap keempat. Kiasan yang sama boleh dibuat pada tahap tiada perbezaan dan terjadinya perbezaan. Iaitu, apa yang Tafsil berbeza pada tahap ketiga menjadi Ijmal tidak berbeza pada tahap keempat. Pada tahap ketiga, ia terzahir dalam bentuk yang ada perbezaan secara Tafsil. Dan ianya berlaku disebabkan oleh pada tahap ketiga, hati disucikan dan disinari, hasilnya pada tahap ketiga hati berkembang dan diberikan kemampuan untuk menampung lebih banyak perkara.”

“Pada tahap kelima, hati juga pada keadaan yang sama, segala yang ada pada tahap keempat akan terpantul pada tahap kelima dalam bentuk Ijmal. Sesungguhnya, hati itu ringkas dan tidak mengandungi walau sedikit pun kesan perkara-perkara lain selepas ianya telah disucikan dengan Tasfiyah yang sempurna. Dan selepas hati mencapai kesempurnaan [selepas disucikan], apa yang terzahir pada hati adalah segala apa yang ada di alam semesta, iaitu apa yang ada pada Alam Kabir, Alam Saghir dan alam kecil yang lain.”

“Oleh itu, hati adalah paling terbatas meskipun paling luas, meskipun paling mudah dan paling sedikit, meskipun paling banyak. Tidak ada satu benda pun yang diciptakan di dunia yang mempunyai sifat hati ini. Dan tidak ada satu benda pun yang boleh dijumpai yang menyamai hati yang melaluinya, seseorang dapat membina hubungan yang kuat dengan Penciptanya Allah Ta’ala. Di dalam Latifah yang istimewa ini sesungguhnya  banyak tanda-tanda yang menakjubkan mengenai Pencipta akan terzahir yang tidak terzahir di dalam mana-mana mahkluk ciptaanNya. Telah diriwayatkan dalam sebuah Hadits Qudsi bahawa, “Langit dan bumi tidak dapat menampungKu. Hanya hati seorang Mukmin yang cukup luas untuk dapat menampungKu.”  

“Alam Kabir adalah cermin yang terluas dari segi penzahirannya. Meskipun demikian, disebabkan kepelbagaian dan perbezaan Tafsilnya, ia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Zat Allah Ta’ala. Kerana Allah Ta’ala tidak mempunyai kepelbagaian yang sebenar atau yang dipenuhi dengan pembezaan. Adalah nyata oleh kerana ia tidak tersembunyi bahawa perkara yang hanya mencukupi untuk membuat hubungan dengan Zat Allah Ta’ala adalah sesuatu yang paling terbatas meskipun paling luas, susah meskipun paling mudah dan paling sedikit meskipun paling banyak iaitu hati.”

“Jarang terdapat seorang ‘Arif yang telah mencapai pengetahuan yang lengkap dan telah mencapai penyaksian Syuhud yang sempurna. ‘Arif tersebut mungkin telah sampai ke suatu Maqam yang tinggi dengan wujudnya yang mulia dan darjat yang tinggi. ‘Arif tersebut menjadi hati kepada seluruh alam dan segala penzahiran. Dia mencapai Wilayat Muhammadi dan dia mendapat penghormatan dengan jemputan Mustafawiyyah yang terpilih dari tuannya, Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Oleh itu, semua Para Aqtab, Para Awtad dan Para Abdal adalah di dalam daerah kewaliannya. Dan Para Afrad dan Para Ahad dan kumpulan Wali-wali yang lain disinari oleh cahaya Hidayatnya. Ini kerana ‘Arif sedemikian adalah dilantik sebagai Naib Manab kepada Hadhrat Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan sebagai Mahdi yang diberikan Hidayat dengan petunjuk Hidayat dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Kekasih Allah Ta’ala. Nisbat yang tinggi dan mulia ini hanyalah bagi Murad iaitu mereka yang dikehendaki oleh Allah Ta’ala. Ianya bukanlah bahagian untuk Talib penuntut atau Murid biasa untuk mencapai kesempurnaan. Ini adalah kemuncak ‘Uzma kesempurnaan dan Maqam Quswa terunggul dan tertinggi. Tidak ada lagi Maqam selepas kesempurnaan ini dan tidak ada pemberian yang lebih tinggi daripada Nisbat ini. Sekiranya ‘Arif tersebut dijumpai sekali dalam seribu tahun, rebutlah harta tersebut dengan menjadi pengikutnya. Keberkatannya tersebar untuk jangkamasa yang lama pada masa yang ditentukan. Kata-katanya adalah seperti ubat dan pandangan matanya adalah penyembuh. Hadhrat Imam Mahdi Radhiyallahu ‘Anhu akan memiliki Nisbat yang mulia ini di kalangan kelompok masyarakat. 

“Ini adalah limpahan karunia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.” [62:4]

“Daulat ketinggian ini akan didapati dengan banyaknya apabila menyempurnakan  Jalan Suluk dan Jalan Jazbah secara Tafsil martabat demi Martabat dan apabila Maqam Fana disempurnakan sepenuhnya dan Maqam Baqa disempurnakan sepenuhnya darjat demi darjat. Bagaimanapun, adalah mustahil untuk mencapainya melainkan engkau mengikuti Hadhrat Nabi Muhammad Sayyid Al-Mursalin Habib Rabb Al-‘Alamin Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan sempurna. Selawat serta Salam ke atasnya dan ke atas Ahli Keluarganya dan dengan Salam yang sempurna. Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan faqir salah seorang di antara pengikutnya. Faqir bermohon kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar menjadikan faqir pengikut yang sempurna dan meneguhkan faqir dan mengurniakan faqir Taufiq untuk berpegang teguh di atas Syari’atNya. Semoga Allah mencurahkan RahmatNya ke atas hambaNya yang mengatakan Amin selepas faqir membuat permohonan doa ini. Pengetahuan Ma’rifat ini adalah di antara rahasia misteri yang Daqiq dan rumuz yang tidak didedahkan yang mana tidak ada Wali yang tinggi  pernah memperkatakannya, malah Sufi yang besar pun tidak memiliki petunjuk atas perkara ini. Maha Tinggi Allah Ta’ala dengan berkat KekasihNya Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, telah memilih untuk mengungkapkan rahsia-rahsia ini kepada faqir ini. Seperti pepatah Farsi:

Seandainya seorang Raja datang ke pintu seorang wanita tua
Khwaja! Janganlah  menarik misaimu dalam keadaan marah.”

"Sesiapa sahaja yang diterima oleh Allah Ta’ala bukan disebabkan oleh apa-apa sebab. Allah melakukan  apa sahaja yang  Dia kehendaki dan memerintah apa sahaja yang Dia kehendaki. Dengan RahmatNya, Allah memilih siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah memiliki karunia yang besar. Maha Besar Allah. Selawat, Keberkatan dan Salam Kesejahteraan ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan ke atas Ahli Keluarganya dan ke atas semua Para Rasul dan Para Nabi ‘Alaihimussolatu Wassalam dan Para Malaikat yang Agung dan ke atas seluruh Umat. Salam ke atas mereka yang mengikuti petunjuk dan berpegang teguh untuk mengikuti Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang terpilih.”


Tiada ulasan:

Catat Ulasan