Khamis, 20 September 2012

Mabda Wa Ma'ad: MINHA 11


MABDA WA MA'AD
Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Quddisa Sirruhu



MINHA 11

“Salik hendaklah menafikan segala objek penyembahan Ma’abud yang berkait dengan dalaman dan luaran. Dia juga haruslah menghilangkan segala yang datang ke fikirannya melalui pemahaman dan waham khayalan supaya terbentuklah Ma’abud Haqiqi kerana Allah Ta’ala adalah di luar pemahaman dan khayalan manusia. Dan dia haruslah percaya bahawa Allah Ta’ala itu Mawjud. Itu sahaja yang diperlukan untuk dipercayai agar dapat maju di atas jalan ini. Di dalam Alam Tuhan Al-Matin, Wujud mungkin tidak berpredikat kerana Dia adalah di luar Wujud. Oleh itu, engkau hendaklah mencari apa yang di luar Wujud iaitu Zat Allah Ta’ala. Betapa fasihnya ‘Ulama di kalangan Sunni yang telah mengatakan, “Wujud Allah Ta’ala tambahan kepada ZatNya”. Ia hanyalah kerana lemah dalam Nazar pemerhatian bahawa orang seperti Hadhrat Ibnu ‘Arabi Quddisa Sirruhu telah mendakwa bahawa Wujud adalah sama dengan Zat atau mengatakan tidak ada apa-apa yang mengatasi Wujud. Syaikh ‘Ala Ad-Dawlah Simnani Quddisa Sirruhu telah mengatakan, 
“Di luar alam Wujud terletaknya alam Tuhan Malik Al-Wadud.”

“Apabila faqir ‘Uruj melepasi Alam Wujud, faqir telah mengalami Ghalbah Hal kerana Sukr mabuk Ruhaniah di dalam cinta kepada Allah Ta’ala. Namun, walau dalam keadaan Sukr, faqir masih lagi menganggap diriku seorang Muslim dengan bahawa daku harus Taqlid mengikuti ‘Ulama terdahulu. Secara ringkasnya, apa sahaja yang datang dalam fikiran untuk menerangkan satu perkara yang luar jangkaan pada dasarnya juga adalah satu perkara yang luar jangkaan. Allah Maha Esa telah membuat makhlukNya tidak berupaya untuk mengenaliNya.”

“Janganlah berfikiran bahawa apabila manusia mencapai Fana Fillah dan Baqa Billah, dia menjadi Tuhan. Ini adalah mustahil, kerana ia memerlukan Taqallub perubahan Haqiqat. Oleh itu, apabila manusia tidak dapat menjadi Tuhan, apa lagi yang tinggal adalah untuk menyatakan ketidakupayaan dan kekurangan dalam mengetahui Allah Ta’ala.

Engkau tidak boleh memburu burung Phoenix;
Wahai pemburu! Angkatlah jaringmu;
Dia yang meletakkan jaring untuk menangkap Phoenix;
Akan pulang ke rumah dengan tangan kosong.

Orang Ahli Sufi yang memiliki kesungguhan tinggi yang mencari maksud Zat Allah Ta’ala, tiada apa-apa yang akan datang kepadanya. Dan dia tidak akan menemui walau satu petunjuk sekalipun mengenai Zat Allah Ta’ala. Terdapat sesetengah manusia seperti Hadhrat Ibnu ‘Arabi Quddisa Sirruhu yang memberikan pendapat berbeza. Mereka berpendapat bahawa Zat Allah Ta’ala adalah sepertimana kewujudan mereka dan mengaitkan Qurb kedekatan dan Ma’iyyat kebesertaan kepada Allah Ta’ala. Ia adalah sepertimana penyair telah bermadah:

Di manakah Engkau dan di mana faqir? Wahai Tuhanku!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan